Monday 30 September 2013

Jom bereksperimen

Assalamualaikum…


Sejak jadi Pembantu Peribadi atau Personal Assistant, masa saya banyak dihabiskan di rumah. Tapi, ini tidak bermakna saya goyang kaki sepanjang masa. Ada banyak benda perlu diselesaikan. Sama seperti suri rumah sepenuh masa. Mengemas, membasuh, menyidai dan melipat baju serta memasak adalah  rutin harian. Dalam masa yang sama, saya bersiar-siar di alam maya meninjau apa yang berlaku di sekeliling. Tak nak lah nanti seperti katak di bawah tempurung.

Sekarang ini saya semakin rajin bereksperimen. (Hehehe…Ala-ala saintis pula rasanya.) Anda mesti tertanya-tanya, apakah yang saya uji? Untuk pengetahuan semua, saya uji resipi-resipi makanan yang ada di internet. 

Saya pemakan dan sukakan makanan. Nampak sahaja makanan, hati saya jadi berbunga-bunga. Memang seronok. Saya sukakan makanan kerana seni yang ada di dalamnya. Selain gabungan warna yang menarik, susun atur yang cantik, imbangan rasa yang wujud di dalamnya sungguh mengagumkan.

Dalam benak fikiran saya sentiasa ada gambar makanan. Paling selalu bermain-main di sana ialah dessert. Saya sangat suka kek. Lebih-lebih lagi jika kek tersebut dihiasi dengan buah-buahan segar. Mmm…dapnya.

Berbalik kepada cerita eksperimen tadi, biasanya, saya akan google dulu resipi makanan yang terlintas dalam fikiran. Kemudian, saya padankan dengan bahan-bahan yang ada di rumah. Jika bahan-bahan tidak lengkap dan tidak boleh diganti dengan bahan lain, saya cari resipi lain. Apabila sudah jumpa yang sesuai, mulalah saya melakukan ujikaji di makmal comel saya (dapur lah tu. Hehehe...) Hasilnya, ada yang berjaya dan tidak kurang juga yang kecundang.

Kenapa tidak berjaya? Kerana saya adalah penderhaka resipi (Istilah ini saya pinjam daripada seorang rakan :-D). Sebenarnya saya memang tidak boleh ikut resipi 100%. Orang guna gram, saya guna cawan. Alasannya, di rumah tidak ada alat penimbang, guna cawan lebih mudah. Dalam resipi kata secawan gula, saya kurangkan jadi setengah cawan, tak mahu manis sebab nanti Alang saya marah kerana dia menghidap diabetes. Eh, kenapa tiba-tiba Alang saya masuk wayang gambar ini? Hehehe… sebab Alang lah yang selalu kena rasa kuih yang saya buat sama ada sedap ataupun tidak.

Tapi, apapun keputusan uji kaji tersebut, saya berpuas hati kerana yang pentingnya saya sudah cuba. Dan saya menderhaka pun ada sebab. Sebabnya ialah saya sesuaikan resepi tersebut dengan citarasa saya dan bagaimana saya ingin hasilnya. Lagipun, saya berpegang pada perkataan popular orang Jepun iaitu Kaizen. Maknanya ialah penambahbaikan yang berterusan. Jadi, saya ambil yang baik, lakukan penambahbaikan dan hasilkan yang lebih baik. Pandai tak saya. Hehehe…

Jom lihat hasil beberapa eksperimen yang telah saya lakukan sepanjang bergelar Pembantu Peribadi.

Spageti Olio Aglio Daging

Cheesekut

Donut Kampung

Roti Jala

Bepang

Cream Cheesekut Bercoklat

Bubur Putih Bubur Merah

Cucur Udang

Seri Muka


Sunday 29 September 2013

Celikkan mata dan bukalah minda


Assalamualaikum…

Semalam, saya dan En. Boss berpeluang membawa Akmal dan Aqilah ke Karnival dan Ekspo Kemahiran Kebangsaan (KEKK 2013). Mesti anda semua tertanya-tanya, apa itu KEKK dan kenapa saya bawa anak-anak ke sana?

KEKK merupakan sebuah karnival kemahiran. Semua bidang kemahiran diketengahkan dalam karnival ini. Program yang julung kali diadakan ini adalah hasil kerjasama daripada pelbagai kementerian yang ada kaitan dengan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT- Technical Education and Vocational Training ) seperti Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Karnival kemahiran terbesar ini diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor bermula 26 hingga 30 September.

Tujuan utama saya membawa anak-anak ke karnival ini ialah untuk mendedahkan mereka kepada bidang kemahiran. Saya mahu mereka tahu bahawa dalam dunia ini ada banyak pekerjaan yang kita boleh buat. Bukan semata-mata bergantung kepada kerjaya yang biasa kita dengar.

Saya mahu mereka buka minda. Kurang pandai di sekolah bukan penghalang untuk berjaya dan jadi kaya. (Hehehe…saya memang sukakan perkataan kaya dan tentunya mahu sentiasa kaya. In Sha Allah…) 

Saya kenal anak-anak saya. Mereka tidak menyerlah di sekolah. Tapi, saya tahu, dalam diri mereka ada banyak potensi yang belum diterokai. Atas alasan inilah, saya beri peluang anak-anak melihat sendiri betapa banyaknya pekerjaan yang ada dalam dunia ini. Semuanya boleh menjana pendapatan lumayan asalkan mereka rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa. 

Saya suruh mereka lihat satu persatu bidang kemahiran yang dipamerkan di situ dan pilih satu yang sangat mereka gemari. Saya ingin mereka memilih kerjaya sendiri. Saya mahu mereka bekerja dalam bidang yang digemari agar dapat berkerja dengan gembira, lebih komited dan yang penting tanpa rasa tertekan. Setuju tak?

Apabila sudah tahu kerjaya impian anak-anak, mudahlah saya dan En. Boss aturkan perjalanan mereka menuju puncak. Kami juga akan lebih fokus dan tidak membuang masa.

Ingin tahu hasil lawatan tersebut, marilah kita saksikan foto-foto di bawah ini.


Akmal memilih untuk mendalami bidang
IT Network Systems Administration

Aqilah pula minat dalam bidang
Graphic Design Technology 


Saya pula mahu jadi apa?

????????????????
?????????????
???????????
?????????
???????
??????
?????
???
?????????
???????
????
???
?


Saya mahu jadi JUARA :-D


Wednesday 25 September 2013

Jom jumpa orang kampung


Assalamualaikum…

Tema aktiviti saya hari ini ialah “Jom Jumpa Orang Kampung”. Kampung sentiasa di hatiku. Hehehe…Semua yang datang dari kampung, saya suka terutamanya makanan. Dan saya tak kisah kampung di negeri mana pun. Asalkan kampung.

Hari ini saya ingin berjumpa mereka di Putrajaya. Orang kampung dari seluruh Malaysia berkumpul di Laman 1 Malaysia, Presint 2.  Dan yang paling menarik, mereka datang bersama buah tangan yang hebat-hebat.  Hasil usaha tulang empat kerat mereka sendiri untuk dikongsi bersama di  Karnival Usahawan Desa 2013 (KUD 2013) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang berlangsung dari 25 hingga 29 September 2013.

Jujurnya, saya bangga dengan orang kampung. Tinggal jauh dari ibu negara Malaysia tidak bermakna mereka ketinggalan. Malah, nyata mereka lebih berjaya dan kaya daripada kebanyakan kita yang tinggal di bandar-bandar besar.

Walaupun hanya sempat meluangkan masa lebih kurang tiga jam, saya puas hati. Saya dapat lihat dengan mata sendiri kesungguhan mereka meletakkan diri sebaris dengan tokoh-tokoh korporat yang sudah berjaya.

Mereka sumber inspirasi saya. Saya nak jadi kaya seperti mereka. Kaya cara orang kampung. Tidak perlu berkemeja dan bertali leher untuk cari duit. Cukuplah dengan baju Pagoda bersama seluar sukan.

Untuk mengakhiri entri kali ini, saya bawakan kepada anda gambar-gambar saya belajar membuat mangkuk tanah liat. Seronok…

*Terima kasih saya ucapkan kepada En. Mohammad bin Zakaria daripada Temin Kraf, Jerantut, Pahang atas tunjuk ajar.


Demonstrasi daripada En. Mohammad

Cikgu tekun mengajar

Haa...macam tu lah caranya...


Terbaek...

Dah siap. Terima kasih Cikgu

Inilah hasil keras tangan saya.
Cikgu kata ini karya hebat sebab hanya satu sahaja dalam dunia :D

Tuesday 24 September 2013

Suatu petang di Central Market


Assalamualaikum…

Sabtu lepas, saya dan famili sempat menjengah ke Pasar Seni aka Central Market. Sudah bertahun saya tidak menjejakkan kaki ke sana. Kesesakan lalu lintas di bandaraya Kuala Lumpur selalu menjadi penghalang kepada saya untuk ke kota metropolitan itu.

Nyata berbeza. Bagi saya, Pasar Seni yang ada sekarang lebih menarik berbanding dahulu. Paling saya suka ialah bahagian lukisan (Art Gallery). Lokasinya di belakang bangunan utama. Semua yang ada di sana menarik minat saya. Daripada lukisan batik, lukisan menggunakan cat minyak, lukisan potret hinggalah kepada kraf pasir. Setiap satu punyai kelebihan tersendiri. Saya kagum dengan bakat yang ada pada artis-artis yang berkarya di sana. Mereka sangat kreatif.

Turut kagum dengan hasil seni di sana ialah anak perempuan saya, Aqilah. Dia memang suka melukis. Aqilah berminat untuk mencanting batik (sebenarnya saya pun teringin) tetapi dek kerana kesuntukan masa, kami terpaksa lupakannya. Mungkin lain kali. In Sha Allah. 

Walaupun masa yang ada pada petang itu cukup singkat, sempat juga kami berkenalan dengan seorang pelukis yang bernama Pheng Kian Kok. Lukisan yang dihasilkan Pheng sangat cantik. Kepakarannya melukis menggunakan cat minyak. Pheng peramah orangnya. Dia sanggup meluangkan masanya untuk melayan kami meski pun pada ketika itu dia sedang sibuk menyiapkan lukisan yang ditempah pelanggan.  Pheng juga telah menunjukkan kepada kami gambar beberapa lukisan yang pernah dihasilkannya menerusi telefon bimbitnya. IPhone you. Hehehe…Kalau anda berminat untuk melihat hasil kreativiti Pheng, bolehlah ke FB Pheng Art Corner. Siap promosi lagi J.

Sebelum mengakhiri entri kali ini, jom tengok gambar-gambar yang sempat saya rakamkan semasa bersantai di Pasar Seni, Kuala Lumpur tempoh hari.


Gaya pelancong dari Shah Alam

Lukisan pasir di dalam botol

Inilah hasilnya

Melihat penuh minat

En. Boss menemuramah Pheng

Gambar kenangan bersama pelukis hebat

Aqilah bersama deretan lukisan batik

Last but not least, hasil keras tangan saya ;-)

Monday 23 September 2013

ATM di hati


Assalamualaikum…

Huhuhu...tiga hari saya tidak update Diari Acik Naros. Ini tidak boleh dibiarkan. Nanti naik lemak. Saya tak mahu Diari Acik Naros bersawang. Juga tidak mahu hangat-hangat tahi ayam berblog. Ya, saya mesti kuat semangat untuk terus mencatatkan aktiviti yang saya senangi di diari maya ini.

Sabtu lepas, saya dan keluarga berkesempatan ke Pameran Statik Angkatan Tentera Malaysia sempena Perarakan Raksasa Hari ATM ke-80 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Sebagai seorang anak askar, jiwa saya memang jiwa tentera. Membesar dalam persekitaran tentera membuatkan saya ‘keras’ dan ‘kasar’. Ya, dahulu saya tidak ada perasaan (Alhamdulillah, sekarang saya sudah pandai bermain dengan perasaan). Hehehe...Sebab itulah saya tidak suka berkawan dengan budak perempuan. Pada saya mereka terlalu sensitif. Tidak boleh cakap sesuka hati. Kena beralas. Kalau tidak, mereka akan merajuk. Huh… memang saya tak tahan dengan kerenah budak-budak perempuan. Hasilnya, majoriti kawan saya lelaki. Kawan perempuan, boleh dikira dengan jari. Itupun, sebelah tangan sahaja.

Mak dan abah dah faham sangat dengan perangai saya. Lebih selesa berkawan dengan lelaki daripada perempuan. Dan yang bestnya, mak dan abah saya kenal semua kawan saya. Tiada rahsia antara kami. Hehehe…

Berbalik kepada cerita pameran statik ATM tu, saya memang sangat teruja. Sebaik mendapat berita tentang Perarakan Raksasa yang akan diadakan oleh ATM, terus terlintas dalam fikiran saya untuk melihatnya secara langsung di depan mata. Saya bercadang membawa anak-anak melihat perbarisan tersebut sebab anak lelaki saya, Akmal minat sangat dengan senjata. Saya maklumkan hal ini kepada En. Boss. Dia seakan setuju dengan cadangan saya. Tapi, kegembiraan tersebut tidak panjang.Hasrat tersebut terpaksa saya lupakan sebab pada hari tersebut, Akmal ada sekolah ganti. Huhuhu…demi pelajaran anak, mak sanggup berkorban. Dalam hati berkata, “Tak mengapa, tak dapat tengok perarakan, tengok pameran pun jadilah.” Kata-kata memujuk diri sendiri.

Selepas Akmal balik sekolah, makan dan solat, tanpa berlengah, kami sekeluarga terus ke Dataran Merdeka. Ketika itu, pukul 2 petang. Matahari sedang ceria memancarkan cahayanya. Pada kebiasaannya, waktu-waktu seperti ini saya lebih rela mengumpul lemak di rumah berbanding membakarkan di tempat awam. Tapi, hari Sabtu tersebut, saya rasa sangat lain. Panas mentari umpama dingin ‘aircond’. Iya ke? Hehehehe…Agak-agaknya, kereta kebal dan senapang kat Dataran Merdeka masa tu berjemaah menyeru nama kami supaya cepat datang. 

Tup…tup, lebih kurang 45 minit kemudian kaki kami sudah berada di depan jentera-jentera ATM yang serba canggih. Hilang ingatan sekejap masa tu. Macam tidak percaya, saya berjaya sampai ke Dataran Merdeka tanpa sebarang halangan. Meletakkan kenderaan pun tidak ada masalah. Inilah berkat kalimah Allahhumma yasir wala tu assir. Alhamdulillah. Terima kasih ALLAH.

Nak tahu apa yang saya jumpa dan lakukan di sana? Jom tengok gambar-gambar yang sempat dirakamkan oleh kamera telefon bimbit saya yang hebat.


Saya suka uniform ini

Akmal dan senjatanya

Aqilah, En. Boss & Akmal

Akmal pencinta peluru

Hebatkan jentera ini. Pelurunya bersepah

Kerana minat, sanggup ku panjat dikau...

Tercapai juga hasrat Akmal nak naik kereta kebal

Mereka sangat sporting

Mari main sembunyi-sembunyi

En. Boss sedang teropong anak bulan :D

Bestnya kalau saya dapat pakai suit ini

Peace no war

Lagi Akmal bersama senjata

Jom main tembak-tembak

Khusyuk Akmal mendengar penjelasan Abang Sojar

Dulu kat dalam hutan, Atuk tidur macam ni lah

Abang Sojar dengan uniform baru

Jenuh Abang Sojar menjawab soalan Akmal

Saya suka RAMD

Saya salute mereka

Adik tetap dengan motor besarnya

Kenangan lalu mengusik jiwa

Renjer mengajar teknik ikhtiar hidup

Daripada pasukan GerakKhas