Wednesday 18 September 2013

Cucur udang

Assalamualaikum...
Tengahari tadi, tatkala kepala ligat memikirkan menu untuk minum petang, tiba-tiba saya teringatkan cucur udang. Bagus juga kalau saya buat cucur udang sebab sos cili ‘homemade’ yang dibuat untuk makan bersama pai tee tempohari ada lagi.

Sebut tentang cucur udang, saya teringatkan mak dan abah. Mereka sangat pandai buat cucur udang sebab dahulu mereka berniaga pisang goreng dan kuih-muih untuk minum petang di Pantai Klebang (sekarang ini dikenali sebagai Pantai 1 Malaysia), Melaka. Salah satu menu popular mereka ialah rojak. Bahan utama rojak ialah cucur udang. Dahulu, saya cuma tengok bagaimana mereka buat, sekarang inilah baru saya nak cuba. Harap-harap menjadilah. Hehehe… Semoga kemahiran mereka dapat saya warisi. In Sha Allah.

Bersama-sama ini saya sertakan resipi cucur udang cara saya berdasarkan bahan-bahan mentah yang ada di dapur. Sukatannya pun saya main agak-agak sahaja. Sesuka hati saya. Hehehe…

Bahan-bahannya:
  • Tepung gandum
  • Mauri-pan atau yis segera
  • Telur
  • Garam
  • Pewarna kuning atau serbuk kunyit
  • Bawang besar (dihiris nipis)
  • Lobak merah (disagat)
  • Air secukupnya
  • Udang

 *Jika ada taugeh dan daun kuchai, bolehlah dicampurkan sekali.

Cara membuatnya:
  1. Mula-mula larutkan mauri-pan atau yis segera di dalam air dan biarkan sebentar.
  2. Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk dan gaul.
  3. Tuangkan larutan yis tadi dan gaul lagi.
  4. Masukkan air sedikit demi sedikit dan gaul rata sehingga mendapat kepekatan adunan seperti yang diingini. 
  5. Biarkan sebentar sehingga adunan naik atau kembang.
  6. Untuk menggoreng, panaskan minyak dengan api sederhana dan goreng sehingga masak.    
Cara membentuk cucur udang:
  1. Masukkan adunan ke dalam senduk yang telah terlebih dahulu dicelup dalam minyak panas agar adunan tidak melekat padanya.
  2. Kemudian, letakkan udang di atasnya dan masukkan senduk ke dalam minyak panas.
  3. Cucur  udang itu akan keluar sendiri dari senduk dan goreng sehingga masak.
* Jika cucur udang tidak keluar sendiri, gunakan garfu dan cungkil perlahan-lahan untuk  keluarkannya.

Selamat mencuba :D


Inilah rupa cucur udang saya

 
Saya suka makan cucur udang bersama hirisan timun

No comments:

Post a Comment